Thursday, June 13, 2013

Qarin

Setiap manusia lahir ke dunia ini bersama kembar mereka yang berupa seekor jin kafir bernama Qarin. Hanya Nabi Muhammad SAW yang dikurnia Allah Qarin Islam sebagaimana hadis berikut: Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam Al-Quran Allah berfirman melalui Surah ke 43: Az-Zukhruf ayat ke 36 



Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Ketika anak-anak saya masih di sekolah rendah, mereka suka mendengar cerita-cerita hantu dari saya. Saya berceritalah tentang Qarin ini berpandukan apa yang saya dengar melalui keset ceramah Ustaz Datuk Harun Din ketika itu. Saya ceritakan bagaimana fizikal Qarin ini boleh menyerupai tuannya 100%. Menurut Ustaz, pernah terjadi satu peristiwa di Pantai Timur dimana dua orang nelayan Si A dan Si B yang telah berkawan baik sekian lama, telah meninggal dunia salah seorang diantara mereka. 

Sebaik-baik mendapat berita tentang kematian kawannya, Si B bergegas meredah kegelapan malam ke rumah Si A kerana jenazah Si A akan dikebumikan pada malam itu juga. Dipertengahan jalan Si B terdengar namanya dipanggil oleh sesaorang meminta api untuk memasang rokok. Jadi si B berhenti menunggu orang tersebut dan sebaik-baik orang itu hampir dengannya dia menyalakan mancis api dan menghulurkannya ke muka orang itu untuk menyalakan api rokoknya. Alangkah terperanjatnya Si B kerana melalui cahaya mancis api yang dinyalakannya dia nampak dengan jelas wajah kawannya Si A yang baru sahaja dikhabarkan meninggal dunia.

Anak-anak saya amat takut mendengar cerita ini. Setelah menamatkan cerita, tinggal saya dengan anak kedua saya sahaja di tingkat bawah manakala yang lain telah naik masuk ke bilik masing-masing. Sebelum naik ke bilik saya berpesan kepadanya " Kalau Tina naik nanti dan jumpa ayah di tangga, itu bukan ayah tapi Qarin ayah." Ujar saya menyakatnya. Dia menjadi takut dan segera berkemas untuk naik ke biliknya. Saya naik dahulu lalu membuka pintu dan menutupnya kembali dengan agak kuat agar dia terdengar dan menyangka ayahnya telah masuk ke bilik. Namun saya sebenarnya masih berdiri di luar bilik. 

Tidak lama kemudian, anak saya naik dan dia amat terperanjat dan menjerit sekuat hatinya ketika melihat saya yang tersenyum memandang tepat ke mukanya. Qarin saya benar-benar menyakat pada malam itu. Peristiwa itu amat melucukan dan kami masih ketawa setiap kali bercerita semula tentang Qarin ayah.



1 comment:

  1. hahaha!! masih gelak sakan bila teringat macam br semalam jadi

    ReplyDelete