Sunday, June 16, 2013

Motor dan Kereta-keretaku

Sejak tahun 1980 saya telah mula memiliki kenderaan sendiri. Kenderaan pertama saya ialah motorsikal Suzuki FR 80. Saya beli motor ini ketika berkhidmat di Batalion Kelima Belas RAMD di Kem Rasah Seremban. Saya tidak ingat harga sebenarnya tetapi saya bayar duit mukanya sebanyak RM300 dan ansuran  bulanan sebanyak RM45. Ketika saya bawa balik motorsikal ini ke kem, hampir semua kawan-kawan dan pegawai senior saya di pasukan mentertawakan saya kerana kata mereka "Pegawai tentera macam kita mana ada 'standard' pakai motorsikal" Saya hanya tersenyum sinis kerana saya tahu saya telah melakukan sesuatu yang betul dan memudahkan saya berulang-alik ke pejabat dan balik ke kampung melawat ibu bapa ketika bercuti. Namun begitu sebagai Pegawai Muda .... motorsikal saya kerap dipinjam oleh mereka yang mengatakan pegawai tidak 'standard' naik motor.

NL 2815


Motor ini saya gunakan sehinggalah saya bertukar ke Pusat Latihan Rekrut Angkatan Tentera di Port Dickson. Sebagai Ketua Platun yang juga seorang jurulatih, saya dapati motorsikal ini tidak dapat memenuhi keperluan saya untuk menghambat rekrut-rekrut saya ketika latihan hutan, menembak, jalan lasak dan sebagainya. Jadi saya tukar motor saya ke model terkini ketika itu Suzuki GT125 Scrambler.



NN 5600
Banyak jasa NN5600 ini kepada saya kerana saya baru mendirikan rumah tangga dan isteri saya mengajar di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang. Isteri saya tinggal di Taman Good Wood, Kelang manakala saya tinggal di Port Dickson. Saya berulang-alik PD Kelang, Kelang PD dua kali seminggu.
Setelah saya dapat kuaters di kem, saya dapati sayalah satu-satunya pegawai yang tidak berkereta. Perasaan ingin memiliki kereta meluap-luap di dalam jiwa. Namun gaji saya sebanyak RM675 dan gaji isteri pula hanya RM295 tidak memungkinkan kami berkereta kecuali ada kereta yg bayaran bulanannya RM75 sebagaimana bayaran NN 5600 saya. Kebetulan Ketua Kompeni saya ketika itu, Kapten Taharin, ingin menjual keretanya kerana membeli kereta baru. Saya mengambil kesempatan membeli keretanya dengan harga RM4000. Saya tidak ingat berapa wang muka yang saya bayar namun bayaran bulanannya memang RM75 sebagaimana yang saya idamkan.

NE 4XXX

Berwarna kuning sama seperti gambar tetapi dindingnya berlubang-lubang dan berkarat. Malahan jika dicucuk dengan jaripun mungkin akan tembus. Kami berjalan ke hulu ke hilir dengan kereta ini kerana sedang kemaruk dapat kereta "baru". Saya ketika itu masih tidak ada lesen memandu. Namun saya ada lesen memandu kenderaan tentera. Jadi lesen utama saya adalah uniform celoreng. Saya sentiasa memakai uniform tentera ketika memandu walaupun pada hari minggu. ^_^
Masa berlalu dan saya dapati adalah diluar kemampuan saya untuk memiliki kereta ketika itu. Hal ini kerana pernah terjadi kereta saya tersadai berhari-hari di rumah kerana tayar pancit, bateri "kong" dan sebagainya. Kebetulan ketika itu seorang Pegawai Kastam menumpang tinggal dengan saya. Beliau perlu kenderaan untuk berulang ke pejabatnya. Akhirnya Fiat 127 kuning ini bertukar tangan dengan bayaran RM1000 dan meneruskan bayaran hutang di bank sebanyak RM75 sebulan oleh Kak Ros - Pegawai Kastam yang ada 'degree'. Lepasan MCE memang tak mampu berkereta ketika itu.

Selama setahun bersama Batalion Ke 22 RAMD, di Kem Lapanagan Terbang, Sungai Petani, saya dan isteri menjadi pengguna kenderaan awam yang sangat baik. Kami kesana kemari menaiki bas, teksi dan keretapi. Selepas dinaikkan ke pangkat Kapten saya bertugas di Batalion 303 Askar Wataniah di Kem Temenggor, Grik, Perak. Tugas saya memerlukan saya berkereta kesana kemari menguruskan bayaran gaji anggota tentera dibawah seliaan saya. Tambahan pula saya telah ada seorang cahaya mata, Nur Ib Tisam. Jadi saya terpaksa membeli kereta. Mujurlah seorang bekas anggota pasukan lama saya di 15 RAMD membuka kedai kereta terpakai. Beliau menawarkan saya kereta Nissan Sunny 'recond' tanpa bayaran cengkeram sementara saya menguruskan pinjaman dengan Koperasi Tentera. Selama sebulan saya melenjan kereta itu. Kereta tanpa pendingin hawa itu umpama sebuah Mercedes Benz kepada saya. Kereta saya berwarna hijau pucuk pisang.

NT 4XXX
Sejak berkereta semula saya layak membuat tuntutan perjalanan kerana tugas. Kadangkala jumlah 'claim' saya lebih besar dari gaji sebulan. Ini membuatkan saya teringin menggunakan kereta yang ada 'air-condition'. Jadi saya 'trade-in' kereta saya dengan sebuah kereta 'recond' dari Jepun. Kali ini saya pakai kereta Galant Sigma model Saturn 80.

Nombor Tak Ingat
Sangat selesa dan boleh dipandu laju. Cuma agak rimas ketika kelajuan melebihi 120KMJ kerana ada loceng amaran 'over speed' yang berbunyi "ting tong, ting tong, ting tong" selagi tidak turun ke 110 KMJ

Setelah genap dua tahun bertugas di Lebuhraya Timur Barat, saya bertukar semula ke Seremban. Kali ini di Kem Sikamat bersama dengan pasukan Batalion kelapan Belas RAMD. Tidak ada lagi tuntutan perjalanan dan elaun perumahan kerana saya masuk semula ke kuaters. Jadi Tak mampu untuk membayar Si Galant setiap bulan RM250. Jalan terbaik ... saya beli kereta terpakai kawan saya Mejor Ghazali. Beliau baru membeli kereta Honda Accord. Kereta Ford Escort 1.3 ada 'aircond' sesuai untuk saya dan keluarga.

Yang ini 1.6. Saya punya 1.3 dan ada 'wind' breaker.
Saya bawa kereta ini bersama pindah ke Miri, Sarawak. Ketika itu saya telah membuat sedikit ubah suai yang tidak terlalu 'extream' seperti ini.

Bahagian 'spoiler' mirip macam saya punya tetapi tidak bergigi seperti mata gergaji
Ketika sampai di Kem Sri Miri, bahagian 'spoiler' tu telah bergigi-gigi lantaran perjalanan lebih kurang 200km dari Pelabuhan Bintulu, Sarawak, kerana sedia maklum ketika itu (1987) jalan Miri - Bintulu masih belum berturap dan ada kawasan yang batunya hampir sebesar kepala orang.

Di Miri saya menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Saya berjaya mendapat kontrak membuka sebuah kedai runcit di dalam Kem Sri Miri. Setelah agak sedikit kaya, saya tukar Ford Escort tu dengan Proton Saga enjin Magma. Isteri saya menggunakan kereta itu manakala saya menggunakan Van Mitsubishi L100 untuk kemudahan mengambil dan menghantar barang. Pada masa yang sama saya juga ada sebuah kereta Daihatsu Charade kecil di Semenanjung untuk kegunaan saya jika ada urusan di Semenanjung. Kereta itu disimpan di rumah kakak ipar saya di Ampang, Selangor.

Proton Saga Magma Engine
Mitsubishi L100 ME 240
Daihatsu Charade 1000cc
Apabila berpindah balik ke Semenanjung, saya menetap di Kampung Tasik, Ampang. Saya mula berniaga menjaja ikan dan sayur serta berniaga di pasar-pasar malam sekitar Ampang. Saya jual kesemua kereta saya dan saya beli van Ford Econovan 1.4. Saiz badannya yang besar dan ruang kargo yang luas memberi keselesaan kepada saya untuk membawa barang dagangan.

NAE 9666

Walaubagaimanapun terdapat kelemahan ketara kepada van ini ia itu kuat makan minyak dan 'under power'. Memandangkan rumah saya sendiri di Kajang telah siap dan boleh diduduki pada pertengahan tahun 1994, saya perlu mengurangkan kos minyak untuk berulang alik ke Ampang setiap hari. Pada masa itu belum ada Lebuhraya Grand Saga seperti sekarang ini. Saya terpaksa menggunakan jalan bukit ke Hulu Langat dan terus ke Kajang bagi mengelakkan jam teruk sepanjang Jalan Cheras. Jadi saya tukar van ini dengan van Daihatsu Hijet atau lebih dikenali dengan City Van.

NAJ 1464
Van ini sesuai dengan keperluan perniagaan saya dan cukup ruangnya untuk keluarga saya seramai lima orang. Lagipun anak-anak masih kecil ketika itu. Saya gunakan van ini selama enam tahun dan habis dibayar hutang piutangnya. Van ini telah membawa saya sekeluarga ke serata pelusok negara. Bagi keselesaan anak-anak, biasanya saya akan meletakkan sekeping papan meja pasar malam diantara kerusi bahagian hadapan dan kerusi panjang di tengah. Saya alas papan itu dengan tikar getah dan tilam span. Di atas papan itulah anak-anak saya dapat tidur dengan selesa sepanjang perjalanan.
Memandangkan anak-anak saya telah besar panjang dan yang sulung telah masuk ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, saya dapati van ini tidak sesuai lagi untuk perjalanan jauh. Saya tukar dengan van Toyota Liteace 'second hand' yang saya beli dengan harga RM28000 hutangggggggg!!

WEK XXXX
Saya lenjan van ini semahu-mahunya kerana terpaksa. Anak saya yang belajar di Pulau Pinang memang tidak pernah berpisah dengan keluarga. Jadi sebulan sekali saya ke Pulau Pinang melawatnya. Pada bulan awal kemasukannya di kolej, saya jenguk dia dua kali sebulan.
Seperkara yang tidak saya lupa tentang van WEK saya ini ialah tentang hiasan dalaman dan ekzosnya. Tuan punya yang lama telah membuat ubahsuai dalaman yang cantik dan ekzosnya juga telah ditukar dengan yang berkualiti dan mengeluarkan bunyi yang agak menderum. Anak saya Tisam, di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang kerap dikagumi oleh rakan-rakannya kerana dia dapat meneka dengan tepat beberapa minit sebelum saya sampai ke kolej kediamannya. Hal ini sebenarnya kerana ketika van saya melintasi Balai Pengawal KMPP, bunyi derumannya yang berbeza dari bunyi ekzos kereta lain dapat didengar oleh anak saya.
Pada suatu hari saya dapati enjinnya amat panas dan terdapat kesan hitam terbakar di gasketnya. Saya tahu inilah masa yang sesuai untuk menukar ke kenderaan baharu. Setelah saya cuci dan kilatkan van saya ini lalu saya bawa ke kedai Nissan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk di 'trade in' bagi membolehkan saya mengambil sebuah van baharu Nissan Vanette C22. Perunding harga kedai itu berpusing-pusing sekeliling van Liteace saya dan akhirnya dia meminta saya letakkan satu harga. Saya beritahu dia bahawa saya tidak dapat letakkan harga tetapi saya akan pertimbangkan jika harga yang dia tawarkan bersesuaian. Saya berbisik dengan isteri bahawa saya mengharapkan harga sekitar RM25000. Jika kurang dari itu saya tidak setuju. Dengan kuasa ALLAH lelaki Cina itu menyatakan bahawa paling tinggi harga kereta saya itu adalah RM30000 sahaja. ^_^ Saya menggelengkan kepala dan buat-buat tidak setuju. Lelaki itu memujuk saya dan akhirnya saya dapat Nissan Vanette baharu serta sedikit wang tunai. 

Van Berniaga Terakkhir Setakat Ini

Pada tahun 2007 saya berhenti terus dari berniaga dipasar tani dan pasar malam. Saya tidak memerlukan lagi kenderaan jenis van. Walaubagaimanapun kesihatan lutut saya tidak mengizinkan saya memandu kereta salun. Jadi saya gunakan MPV Avanza. 

Ni Rupa Masa Baru Keluar Dari 'Show Room'


Ni Rupa Cik Avanza Sekarang ^_^

Buat masa ini tidak ada keinginan untuk menukar kereta lagi kerana Cik Avanza saya masih sangat elok dan tidak meragam. Sudah enam tahun kami bersama. Disamping itu isteri saya telah membelikan anak bongsu kami, Ibnur Izzad sebuah Myvi LE untuk kegunaannya berulang-alik ke kolej. Ketika dia bercuti saya sekali sekala mengambil peluang menggunakannya.

Di rumah kami kereta ini lebih dikenali dengan 'Kereta Adik'

Anak saya yang kedua, Nur Ib Qistina juga memiliki kereta sendiri bagi memudahkannya berulang-alik ke tempat kerjanya di Hospital Putrajaya.

Kereta Tina

Jika saya teringin memandu kereta yang agak mewah, saya cilok keretanya sekejap. Hi, hi ........... Kadangkala saya teringin juga membawa kereta 'vintage car' jadi saya pandu kereta menantu saya Azrol Amar Azizan kereta Proton Aeroback. Kereta pacuan manual yang terbaik dan mantap pernah saya pandu.

Proton Wira Aeroback Gbam

Sebuah lagi MPV yang ada bersama keluarga saya adalah milik anak sulung saya Nur Ib Tisam. Dia menggunakan Exora Bold.

Kereta Akak

Saya dapati ianya sangat selesa dipandu namun saya lebih suka memandu Cik Avanza saya kerana faktor audio yang lebih canggih dari MPV anak saya. Namun sistem bunyi Cik Avanza saya tidak secanggih kereta yang saya jumpa dipameran kereta Port Dickson baru-baru ini.

Pergh, paling koman RM20000 satu set!!
Saya memang suka berjalan melihat keindahan alam. Memandu pula merupakan hobi saya dan saya yakin saya seorang pemandu yang berhemah. Saya masih teringin menunggang motorsikal terutama ketika melihat motorsikal menantu saya Riduan Yusof tetapi apakan daya perasaan takut kerana pernah jatuh sebanyak tiga kali ketika zaman menunggang motor menyebabkan saya fobia. Anak-anak saya, saya larang sama sekali dari menaiki motorsikal dalam apa keadaanpun.

Model Yamaha LC 135 motor menantu saya Riduan Yusof
Tujuan utama saya mencatatkan pengalaman permotoran saya ini adalah untuk menjadi pengajaran kepada rakan-rakan agar terimalah hakikat bahawa ukur baju di badan sendiri. Jika mampu pakailah kereta secanggih ini yang saya saksikan dipameran kereta Port Dickson baru-baru ini. 'Road tax' sahajapun menjangkau RM22816 setahun. 

Aston Martin 
Namun jika tidak mampu, gunakanlah pengangkutan awam yang banyak terdapat di negara kita ini. Jika anda memandu pula jangan lupa memulakan pemanduan dengan membaca :Bismillahirrohmanirrahim. Sepanjang berada di atas jalan raya berhati-hatilah dan baca doa ini agar kita semua selamat.

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Artinya :Maha Suci (Tuhan) yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami
Keterangan :Doa ini bersumber dari Al-Qur'an, surat Az-Zukhruf ayat 13-14


Sehebat manapun kereta anda, jangan lupa kereta ini kerana mungkin sahaja kereta ini yang terakhir kita naiki.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Pesanan juga untuk Pemandu Van Jenazah. Jika memandu, patuhilah undang-undang jalan raya kerana jika peraturan dilanggar anda tetap kena saman walaupun ketika menghantar jenazah ke destinasi istirehatnya. Sekian.
Saman, jangan tak saman ^_^






















2 comments:

  1. Halo,
    Nama saya Marcia Retnawati dari Batan Miroto kota Semarang di Indonesia, saya ingin menggunakan medium ini untuk memberi nasihat kepada setiap orang agar berhati-hati dalam mendapatkan pinjaman di sini, sehingga peminjam pinjaman di sini adalah semua penipu dan mereka hanya di sini untuk menipu anda wang saya, saya memohon pinjaman kira-kira 100 juta dari seorang wanita di Malaysia dan saya kehilangan kira-kira 6 juta tanpa mengambil pinjaman, mereka bertanya lagi dan sekali lagi untuk kos, saya membayar hampir 6 juta lagi saya tidak mendapat pinjaman,

    Allah adalah kemuliaan, saya bertemu seorang sahabat yang baru saja memohon pinjaman, dan dia mendapat pinjaman tanpa tekanan apa pun, jadi dia memperkenalkan saya kepada Puan Alicia Radu, dan saya memohon 500 juta, saya rasa ini adalah jenaka dan penipuan, tetapi saya mendapat pinjaman saya kurang dari 24 jam hanya 2% tanpa cagaran. Saya sangat gembira kerana saya diselamatkan daripada menjadi miskin.

    jadi saya nasihat semua orang di sini yang memerlukan pinjaman untuk dihubungi
    Puan Alicia Radu, melalui e-mel: aliciaradu260@gmail.com

    Anda masih boleh menghubungi saya jika anda memerlukan maklumat lanjut melalui e-mel: Marciaretnawati450@gmail.com

    sekali lagi terima kasih semua kerana membaca kesaksian saya, dan semoga Allah terus memberkati kita semua dan memberi kita hidup dan kemakmuran

    ReplyDelete